Home > Tauladan > ~Contohi Rasulullah SAW~

~Contohi Rasulullah SAW~

September 4, 2009

CONTOHI RASULULLAH

[Tauladan Hidup]

Kelahiran Rasulullah SAW adalah umpama obor yang menyuluh umat kepada jalan yang benar. Baginda merupakan rahmat Allah kepada sekalian alam sebagaimana fiman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

muhammad_sawMengapakah baginda dianggap sebagai rahmat? Ini kerana baginda menyeru manusia supaya beriman kepada Allah ketika mereka berada di dalam kesesatan serta memberi tunjuk ajar cara beriman kepadaNya. Baginda juga menyeru manusia berbuat baik dan meninggalkan perbuatan jahat. Segala tingkah laku, akhlak dan keperibadiannya mencerminkan al-Quran yang dibawanya sebagai kitab panduan umat Islam.

Kehebatan akhlak Nabi Muhammad SAW dpat dilihat sejak kecil lagi sebelum baginda dilantik menjadi nabi dan rasul. Baginda digelar “Al-Amin” oleh kaumnya kerana keperibadiannya yang jujur, amanah dan tidak pernah berbohong. Sikap amanahnya pernah membuatkan baginda dipilih untuk menyelesaikan perbalahan kaumnya ketika perletakan batu Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Baginda kemudiannya berjaya menyelesaikan masalah itu dan kebijaksanaan baginda diakui oleh semua suku kaum Arab yang berpuas hati dengan cara penyelesaian tersebut.

Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, contoh suami yang baik, contoh bapa yang baik, contoh sahabat yang baik, contoh jiran yang baik, contoh guru yang baik, contoh peniaga yang baik dan banyak lagi. Tidak terhitung lagi sifat-sifat terpuji yang serba sempurna yang ada pada dirinya seperti sifat benar, amanah, bijaksana, menyampaikan, ikhlas, jujur, penyantun, penyabar, pemaaf, penyayang, pemurah dan sebagainya.

Membayangkan dan menghayati kesempurnaan akhlak Rasulullah, maka siapakah lagi yang sepatutnya lebih utama kita jadikan contoh dan ikutan dalam hidup kita hari ini? Sudah tentu ianya Rasulullah orang yang lebih utama dan lebih layak dijadikan sebagai ‘role model’ seperti yang disebutkan di dalam al-Quran surah al-Ahzab:21.
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Oleh itu, tanamkanlah satu azam untuk menjadikan akhlak baginda sebagai contoh teladan untuk membina keperibadian yang mulia. Usaha yang sedikit tetapi berterusan lebh baik daripada usaha yang banyak tetapi hanya seketika.

muhammad

Categories: Tauladan
%d bloggers like this: