Home > Indahnya Kasih > ~Islam Dan Kasih Sayang~

~Islam Dan Kasih Sayang~

ISLAM DAN KASIH SAYANG

[Cahaya Kasih]

Valentine Day - 6

Seseorang yang memiliki budi pekerti mulia disukai oleh semua orang. Sebaliknya, orang yang buruk akhlaknya dibenci. Demikianlah sifat fitrah semua manusia tanpa mengira latar belakang agama. Oleh itu, Islam memerintahkan penganutnya supaya mengikis sifat yang tercela dan mengisinya dengan segala sifat terpuji.

Sifat terpuji melambangkan kesempurnaan Islam seseorang. Di antara sifat terpuji ialah berbuat baik dan menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Dalam melakukan kebaikan, Islam tidak mengamalkan dasar diskriminasi. Lantaran itu perintah berbuat baik tidak hanya ditujukan kepada sesama Muslim, bahkan bukan Islam. Ringkasnya, perintah melakukan kebaikan dan berbuat kebajikan merentasi batas akidah seseorang.

Jika kita ingin mengambil contoh orang yang memiliki akhlak mulia, maka baginda adalah contoh terbaik. Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan yang baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Ketinggian akhlak baginda disifatkan sebagai akhlak al-Quran. Bahkan, baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia. Baginda juga menzahirkannya melalui amalan. Dengan sifat sabar yang dimiliki baginda, menyebabkan seorang wanita Yahudi yang sering mengotori baginda saban hari memeluk Islam. Baginda juga menziarahi seorang Yahudi yang dalam keadaan sakit sehingga akhirnya Yahudi itu memeluk Islam.

love-islam

Seorang Muslim juga diperintahkan untuk berbuat baik kepada keluarganya yang bukan Muslim. Pertalian kekeluargaan yang sedia ada harus dipertahankan kerana keIslaman seseorang bukanlah alasan untuk memutuskan segala pertalian dengan keluarga asal.

Sebaliknya kita diperintahkan untuk terus menjalin hubungan yang baik. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zubir katanya: “Qutailah binti Abdul Uzza yang masih musyrik datang mengunjungi anaknya, Asma’ binti Abu Bakar dengan membawa beberapa hadiah. Asma’ enggan menerimanya bahkan tidak membenarkannya ibunya masuk. Asma’ meminta Aisyah bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara itu. Lalu Rasulullah menyuruh Asma` supaya menerima hadiah itu dan menyuruh ibunya masuk ke dalam rumah.”(Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal).

Berdasarkan hadis itu, nyatalah bahawa Islam menyuruh untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa yang bukan Islam, selagi ia tidak bertentangan dengan norma Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau dengan fikiran sihat engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan Tauhid dan amal yang salih) kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Lukman, ayat 15)

Daripada penjelasan itu, dapatlah diambil kesimpulan bahawa menjalin hubungan yang baik dengan sesama manusia tanpa mengira agama seseorang adalah anjuran Islam. Sifat itu juga mencerminkan wajah sebenar ajaran Islam iaitu ajaran yang berlandaskan kasih sayang dan toleransi.

Allahu Ta’ala a’lam…

Categories: Indahnya Kasih
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: